Khamis, November 20, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua maut dalam kejadian tanah runtuh di utara Itali

    ROM, 18 NOV – Pasukan bomba Itali kelmarin berkata mereka telah menemui dua mangsa kejadian tanah runtuh yang memusnahkan tiga buah rumah di timur laut Itali dalam insiden semalaman, selepas operasi pencarian selama sehari.

    Bencana itu berlaku di bandar Brazzano di Cormons, di wilayah Gorizia berhampiran Trieste, yang dicetuskan oleh hujan lebat luar biasa sehingga mencetuskan banjir besar dan aliran lumpur memenuhi jalan-jalan.

    Lewat kelmarin, jurucakap perkhidmatan bomba kebangsaan, Luca Cari memberitahu AFP bahawa mereka telah menemui mayat wanita yang hilang.

    Terdahulu, Luca Cari berkata mereka menemukan mayat mangsa pertama di bawah runtuhan, tanpa mendedahkan identitinya.

    Laporan media menyatakan mangsa ialah seorang penduduk Jerman berusia 32 tahun dan jiran wanitanya berusia 83 tahun, yang sedang diperiksanya ketika hujan lebat sebelum tanah runtuh berlaku.

    Datuk Bandar Brazzano di Cormons, Roberto Felcaro berkata hujan lebat itu ‘melumpuhkan komuniti kami.’

    Kira-kira 260 milimeter hujan turun dalam tempoh kira-kira lapan jam, menyebabkan ‘kerosakan dan masalah serius di seluruh kawasan kami,’ katanya dalam satu video di media sosial.

    “Terdapat kehadiran besar anggota penguat kuasa undang-undang, bomba dan agensi perlindungan awam yang bekerja tanpa henti.”

    Awal kelmarin, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang lelaki dari bawah runtuhan rumah yang musnah. Dia dihantar ke hospital dengan patah kaki, lapor media tempatan.

    Sekitar 300 penduduk dipindahkan dari bumbung rumah mereka akibat banjir, kata Vannia Gava, seorang pegawai dari wilayah Friuli-Venezia Giulia.

    Rakaman video dari helikopter menunjukkan sebahagian besar kawasan itu ditenggelami air. Amaran cuaca buruk telah dikeluarkan di seluruh utara Itali. – AFP

    Pemandangan udara menunjukkan banjir besar berhampiran Udine di wilayah Friuli Venezia Giulia, utara Itali selepas hujan lebat, pada 17 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda