PUERTO ESCONDIDO, 20 JUN – Taufan Erick meragut sekurang-kurangnya dua nyawa ketika melanda selatan Mexico, mengakibatkan kerosakan besar kepada komuniti pesisir pantai sebelum melemah menjadi sistem tekanan rendah lewat semalam, menurut pihak berkuasa.
Seorang lelaki maut akibat renjatan elektrik ketika membantu kerja-kerja pembersihan serpihan di negeri selatan Oaxaca, lokasi Taufan Erick mula melanda, selepas menyentuh kabel voltan tinggi berhampiran aliran air, kata kerajaan negeri.
Seorang kanak-kanak pula dilaporkan maut di negeri jiran, Guerrero, selepas dihanyutkan oleh arus deras ketika ibunya cuba membawanya menyeberangi sungai di bandar San Marcos, menurut pihak berkuasa perlindungan awam.
Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat dalam kenyataan terkini pada 0300 GMT memaklumkan bahawa Erick telah melemah menjadi ribut tropika, terletak 155 kilometer dari pelabuhan Acapulco, dengan kelajuan angin berterusan sekitar 50 kilometer sejam ketika bergerak melintasi selatan Mexico kelmarin.
Komuniti pesisir di Oaxaca termasuk Lagunas de Chacahua, yang menempatkan kira-kira 2,800 penduduk, menjadi antara kawasan yang terjejas secara langsung apabila ribut itu memusnahkan bumbung berdinding jerami serta menyebabkan banjir di jalan-jalan.
“Ia sangat kuat, sangat dahsyat… seluruh kampung kehilangan tempat tinggal, tiada pakaian, kami tidak mendapat bantuan,” kata Francisca Avila, seorang suri rumah berusia 45 tahun kepada AFP, sambil memerhati kemusnahan terhadap kebanyakan barangan miliknya.
Di bandar pelancongan Puerto Escondido, penduduk dan pasukan kecemasan berganding bahu mengalirkan air banjir dan membersihkan serpihan yang ditinggalkan ribut, yang turut menumbangkan pokok dan papan tanda jalan serta menimbus bot-bot dengan pasir di pantai. – AFP
