Thursday, March 20, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua maut ditembak kelasi

    LOS ANGELES, 5 DIS – Seorang kelasi Amerika Syarikat menembak mati dua orang dan mencederakan individu ketiga di Limbungan Tentera Laut Pearl Harbour di Hawaii semalam sebelum membunuh dirinya, kata pegawai kanan tentera laut.

    Pangkalan itu ditutup selama lebih sejam selepas kes tembakan, menurut kenyataan yang dikeluarkan kemudahan itu, manakala pegawai tentera laut berkata mereka sedang menyiasat punca serangan.

    “Saya boleh mengesahkan ada tiga mangsa tembakan.

    “Kami mengesahkan dua maut, seorang dalam keadaan stabil di hospital,” kata Laksamana Robert Chadwick.

    Beliau menambah, penembak berkenaan dikenali sebagai kelasi yang bertugas dengan USS Columbia, kapal selam penggempur Los Angeles, juga meninggal dunia akibat kecederaan tembakan yang dilakukan sendiri.

    Seorang saksi memberitahu media tempatan beliau sedang duduk di depan komputer ketika mendengar bunyi tembakan dan bergegas ke tingkap, dan melihat tiga mangsa terbaring di atas tanah. Saksi, yang enggan dikenali, berkata beliau melihat penembak, yang memakai pakaian seragam kelasi, menembak kepalanya. Jurucakap Rumah Putih, Hohan Gidley, berkata Presiden Donald Trump diberi taklimat mengenai tembakan itu dan sedang memantau keadaan. Gabenor Hawaii, David Ige, dalam Twitter berkata Rumah Putih menawarkan bantuan daripada agensi persekutuan dan negeri itu sedia membantu di mana yang perlu.

    “Saya menyertai solidariti dengan penduduk Hawaii menyatakan kesedihan berhubung tragedi ini dan prihatin kepada mereka yang terbabit dalam kes tembakan,” katanya. – AFP

    Laksamana Tentera Laut AS Robb Chadwick bercakap kepada media di pagar utama Pangkalan Tentera Pearl Harbor-Hickam, pada 4 Disember di Hawaii selepas satu kejadian tembakan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda