MELBOURNE, 23 OKT – Seorang lelaki dan rakannya yang cuba menyelamatkannya maut selepas terperangkap dalam keadaan laut bergelora di pesisir pantai bandar Melbourne, Australia, malam kelmarin.
Menurut polis, kejadian berlaku berhampiran Jeti Frankston, di selatan Melbourne, ketika kawasan berkenaan dilanda ribut dengan kelajuan angin mencecah 130 kilometer sejam.
Detektif Inspektor Melissa Nixon berkata, mangsa pertama, seorang lelaki warga Britain berusia 36 tahun yang menetap di kawasan pinggir bandar Frankston, dipercayai keluar meluncur ketika cuaca buruk. Papan luncurnya dilaporkan patah, namun punca sebenar kejadian itu masih belum diketahui.
Rakannya, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun, bertindak terjun ke laut selepas melihat mangsa bergelut dalam ombak besar.
“Lelaki berkenaan jelas berada dalam kesusahan dan tidak berpengalaman meluncur. Rakannya nampak dia sedang lemas dan terus cuba menolong,” kata Nixon.
Pasukan penyelamat polis yang tiba di lokasi menaikkan kedua-dua mangsa menggunakan helikopter penyelamat, namun mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang anggota penyelamat turut dikejarkan ke hospital selepas tertelan air dalam jumlah banyak, namun dibenarkan pulang keesokan paginya.
Kedua-dua mangsa belum dikenal pasti secara rasmi setakat ini.
Nixon turut mengingatkan orang awam agar tidak memasuki laut atau kawasan berisiko tinggi ketika cuaca ekstrem bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.
Ribut kuat itu turut menyebabkan pokok tumbang, kerosakan infrastruktur, dan gangguan bekalan elektrik di ribuan kediaman serta premis perniagaan sekitar Melbourne dan negeri Victoria. – AFP


