HONG KONG, 20 OKT – Dua lelaki maut apabila sebuah pesawat kargo terbabas dari landasan semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong hari ini, melanggar sebuah kereta peronda keselamatan sebelum menjunam ke laut, menurut pihak berkuasa.
Pegawai berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca pesawat Boeing itu keluar dari landasan di lapangan terbang yang merupakan antara paling sibuk di dunia bagi operasi kargo tahun lalu, menurut ranking industri.
Bahagian badan pesawat yang rosak, dilihat sebahagiannya tenggelam di perairan berhampiran lapangan terbang, dengan gelongsor kecemasan terbuka, menjadikannya antara insiden paling serius sejak lapangan terbang itu mula beroperasi pada tahun 1998.
Pengarah Eksekutif Operasi Lapangan Terbang, Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong, Steven Yiu, berkata pesawat kargo dari Dubai itu ‘terbabas dari landasan utara ketika mendarat, menembusi pagar keselamatan dan terjunam ke laut’ sekitar jam 4 pagi.
Menurutnya, kereta peronda berkenaan tidak berada di atas landasan ketika kejadian, sebaliknya ‘pesawat yang terbabas melanggar kenderaan berkenaan di luar pagar keselamatan sebelum menolaknya ke laut’.
Seorang lelaki berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi berusia 41 tahun meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital.
Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta yang tenggelam kira-kira lima meter dari pesisir oleh pasukan penyelam.
Syarikat penerbangan Emirates mengesahkan semua kru pesawat selamat dan tiada muatan kargo dibawa ketika kejadian. – AFP

