LIMA, 16 FEB – Sebuah bas dua tingkat dan sebuah kereta terjatuh ke dalam sungai apabila sebuah jambatan roboh di utara Peru Jumaat lalu, mengorbankan dua orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi, kata pihak berkuasa.
Pegawai pengurusan bencana, Cecilia Martino, berkata bas itu mengangkut lebih 50 penumpang apabila jambatan sepanjang 60 meter yang dilaluinya berhampiran Chancay roboh disebabkan oleh kelemahan struktur binaannya.
Masalah berpunca daripada tiang tengah jambatan yang dibina pada tahun 1960an di Lebuhraya Panamerican.
Bas itu dalam perjalanan menuju ke ibu negara Lima dari bandar pelabuhan Chimbote kira-kira 400 kilometer ke utara.
Lebih 50 pegawai polis dan 100 anggota bomba adalah sebahagian daripada operasi menyelamat, kata kementerian dalam negeri.
Mayat pemandu bas dan seorang penumpang telah diangkut, manakala 41 orang lagi dikejarkan ke hospital.
Menurut Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi, negara Andes mencatatkan kejadian kemalangan bas paling tinggi, dengan 3,138 kematian direkodkan dalam kemalangan jalan raya pada 2023. – AFP
