LONDON, 6 MEI – Dua pelumba motosikal maut dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan 11 motosikal semasa acara Supersport British kelmarin, kata penganjur.
Pelumba Inggeris, Owen Jenner dan New Zealand, Shane Richardson, cedera parah pada pusingan pertama perlumbaan di Oulton Park di barat laut England.
Perlumbaan yang merupakan acara sokongan kepada Kejuaraan Superbike British, telah dihentikan dan baki program perlumbaan hari itu dibatalkan.
Seorang lagi pelumba Inggeris, Tom Tunstall, mengalami kecederaan dalam nahas itu, kata satu kenyataan daripada penganjur litar Motorsport Vision Racing (MSVR), kelmarin.
“Owen Jenner, 21, pada mulanya dirawat di tepi trek dan kemudian dibawa ke pusat perubatan litar dan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala meskipun menerima rawatan resusitasi lanjut,” kata MSVR.
“Shane Richardson, 29, pada mulanya dirawat di tepi litar dan kemudian dibawa ke pusat perubatan litar sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Diraja Stoke akibat cedera parah di dada. Dia meninggal dunia sebelum tiba.
“Tom Tunstall, 47, pada mulanya dirawat di trek dan dibawa ke pusat perubatan litar. Dia kemudian dipindahkan ke Hospital Universiti Diraja Stoke dengan kecederaan di bahagian belakang dan perut.”
Manakala pelumba Carl Harris, Max Morgan, Cameron Hall, Freddie Barnes dan Morgan McLaren-Wood dirawat kerana mengalami kecederaan ringan di pusat perubatan litar. – AFP
