KOLKATA, 27 SEPT – Dua nelayan dilaporkan maut apabila siklon membawa angin kencang dan hujan lebat membadai pantai timur India, yang turut menyaksikan lebih 200,000 penduduk di tiga buah negeri terpaksa dipindahkan.
Siklon Gulab melanda kawasan pesisir Odisha dan Andhra Pradesh pada jam 6 petang membawa angin kencang sehingga 98 kilometer sejam.
Media tempatan melaporkan operasi mencari dan menyelamat dilancarkan selepas sebuah bot nelayan dalam perjalanan dari Odisha ke Andhra Pradesh, terbalik ketika ribut.
Menurut laporan Indian Express, tiga nelayan berjaya berenang ke pantai, manakala dua maut dan seorang lagi masih hilang.
Selain itu, terdapat laporan awal menyatakan pokok turut tumbang apabila taufan berkenaan membadai sebuah daerah pesisir di Andhra Pradesh. Odisha, Andhra Pradesh dan Bengal Barat mengarahkan penduduk berpindah, susulan ramalan bahawa ribut dari Teluk Bengal bakal membawa ‘angin kencang bersama hujan lebat.’ – AFP