Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua maut treler rempuh beberapa kenderaan

    PUTRAJAYA, 20 SEPT – Dua maut manakala enam cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah treler merempuh beberapa kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong di sini hari ini.

    Kejadian kira-kira 10:15 pagi itu melibatkan lima kereta, sebuah treler bermuatan batu pasir dan sebuah lori satu tan serta tiga motosikal termasuk sebuah motosikal polis trafik, dengan treler terbabit melanggar kenderaan yang sedang berhenti dalam barisan di laluan tersebut.

    Ketua Polis Daerah, ACP A.Asmadi Abdul Aziz berkata dua lelaki yang merupakan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.

    Identiti kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 20an dan 30an itu akan dimaklumkan selepas waris mereka melakukan pengecaman di Hospital Putrajaya, katanya.

    A.Asmadi berkata pemandu treler berusia 25 tahun itu telah ditahan dan hasil siasatan awal, lelaki itu mendakwa tidak sempat memberhentikan kenderaan itu.

    Beliau berkata pemandu treler itu tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan ujian air kencing akan dilakukan terhadapnya.

    “Treler itu (pemandu) kita tidak tahu sama ada dia (pemandu) terleka atau main telefon bimbit, kita lihat treler itu nampak baru lagi,” katanya kepada pemberita ketika meninjau proses siasatan di lokasi kejadian.

    Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), A.Asmadi berkata pemandu treler itu sepatutnya berpeluang untuk memberhentikan kenderaan kerana dilihat sempat menukar laluan dari lorong tengah ke kiri. – Bernama

    Keadaan kemalangan melibatkan pelanggaran sebuah lori dengan beberapa kenderaan di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda