JAKARTA, 21 SEPT – Pasukan penyelamat kelmarin menemui dua mayat di sebuah lombong bawah tanah yang dikendalikan Freeport Indonesia di Papua, hampir dua minggu selepas kejadian tanah runtuh yang memerangkap tujuh pekerja, menurut pegawai polis.
Tanah runtuh itu berlaku pada 8 September apabila bahan dari tempat penggalian mengalir di salah satu daripada lima bahagian Lombong Bawah Tanah Grasberg Block Cave, lombong emas dan tembaga di Tembagapura, wilayah Papua Tengah.
Pekerja terperangkap selepas aliran tersebut menutup akses dan mengehadkan laluan pemindahan, kata syarikat berkenaan.
Dua mangsa ditemui pada pagi kelmarin dan telah dikenal pasti sebagai Irawan, 46, dan Wigih Hartono, 37, kata Ketua Polis Tempatan, Billyandha Hildiario Budiman kepada AFP.
Pencarian lima lagi mangsa masih diteruskan, jelas Billyandha, sambil menambah setakat petang kelmarin tiada perkembangan lanjut dicatatkan.
Kedua-dua mangsa berasal dari Pulau Jawa dan mayat mereka dijangka dibawa pulang ke sana pada hari yang sama, katanya.
Freeport Indonesia tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen AFP.
Media tempatan melaporkan Presiden Direktur Freeport Indonesia, Tony Wenas, mengesahkan penemuan dua mayat tersebut dan operasi mencari baki pekerja yang hilang masih dijalankan.
Syarikat itu menggantung operasi lombong berkenaan awal bulan ini bagi memberi keutamaan kepada usaha menyelamat. – AFP


