Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua menang $200,000 akhiri BIBD Aspirasi 6

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Yapp Hui Menn dan Yeo See Tshoon, diumumkan sebagai pemenang hadiah utama dalam Kempen Ganjaran BIBD Aspirasi 6, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai $200,000 pada majlis penyampaian hadiah, hari ini.

    Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas sempena Pesta Pengguna ke-30 itu telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD.

    Turut hadir ahli Lembaga Pengarah BIBD dan Badan Penasihat Syariah BIBD serta ahli pasukan pengurusan kanan BIBD.

    Yapp Hui Menn semasa ditemu bual berkongsi perasaan gembira dengan hadiah yang dimenangi dan mengucapkan terima kasih kepada BIBD kerana memperkenalkan Aspirasi kepada mereka.

    Menurutnya, beliau mula menyertai Aspirasi itu lima tahun lalu, dengan mengamalkan penyimpanan sebanyak 60 peratus daripada jumlah gaji yang diterima setiap bulan.

    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bergambar bersama para pemenang pada majlis penyampaian hadiah kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Acara menampilkan cabutan berasingan untuk menentukan pemenang bulanan dan suku tahunan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau yang masih terkejut dengan hadiah yang tidak disangka itu, akan menyimpan sebahagian daripada wang yang dimenangi untuk Aspirasi akan datang.

    “Dengan Sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi, hadiah ini juga membawa keceriaan kepada ahli keluarga,” jelasnya.

    Sementara itu, empat pemenang suku tahunan juga membawa pulang $10,000 setiap seorang, manakala seramai 24 pemenang bulanan masing-masing diberi ganjaran $1,000.

    Para pemenang dipilih daripada kumpulan pelanggan yang melanggan BIBD Aspirasi dan mengekalkan tempoh pegangan minimum 90 hari.

    Berikutan cabutan langsung terdahulu untuk nombor sijil yang layak, acara hari ini menampilkan cabutan berasingan untuk menentukan pemenang bulanan dan suku tahunan.

    Untuk mengambil bahagian dalam cabutan ganjaran, pelanggan hanya perlu mengekalkan minimum deposit $50 sepanjang tempoh pegangan 90 hari.

    Program BIBD Aspirasi, yang kini dalam kitaran ke-6, telah memberikan ganjaran kepada 2,190 pemenang dengan jumlah hadiah melebihi $5.07 juta sejak dilancarkan.

    Sepanjang kempen ganjaran BIBD Aspirasi 6, sejumlah $848,000 telah dimenangi oleh 306 pemenang bulanan, 16 pemenang suku tahunan dan dua pemenang utama.

    Kempen Ganjaran BIBD Aspirasi kekal boleh diakses oleh semua orang melalui BIBD NEXGEN, dengan sumbangan kemasukan minimum $50 sahaja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda