Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Dua pemenang Cabutan Bertuah Pelancaran Projek Rintis Kenderaan Elektrik (EV), Dayang Siti Nurul Ain binti Haji Harun dan Awang Muhammad Wafiy bin Awang Mohd Amin masing-masing boleh mencuba skuter elektrik terbaharu apabila diumumkan pemenang utama cabutan bertuah itu pada majlis penutup pameran EV di Bridex Hall 2, Jerudong hari ini.
Dayang Siti Nurul Ain memenangi NIU-E-Scooter manakala pemenang tempat kedua, Awang Muhammad Wafiy memenangi One Cool Sports Scooter. Pemenang hadiah ketiga, Ho Yin Hong memperolehi telefon mudah alih, Oppo Reno 5.
Seramai 20 peserta telah disenarai pendek daripada 60 orang peserta sehari sebelum cabutan bertuah tersebut, Seramai 16 orang pemenang menerima hadiah mereka hari ini, terdiri daripada pelbagai hadiah-hadiah menarik.
Acara yang bermula 25 Mac lalu anjuran Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Tenaga serta Persatuan Peniaga Automobil Brunei (PPAB) itu merupakan permulaan pendekatan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai EV di Brunei.
Pelancaran EV itu berfungsi sebagai peluang besar untuk memperkenalkan konsep baru bersama dengan skim Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) kepada orang ramai, yang bertujuan untuk mencapai peningkatan pengetahuan dalam menurunkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Melalui pelancaran itu, ia akan mendidik dan mendedahkan negara dalam sasaran untuk meningkatkan pasaran kenderaan elektrik hingga 60 peratus daripada jumlah penjualan tahunan pada 2035.
