KLUANG, 6 OGOS – Seorang tukang masak mengambil masa dua minggu untuk membuat persediaan santapan serta demonstrasi masakan tempoyak untuk Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersempena dengan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 yang masuk hari kedua di Kampung Sungai Lukut di sini hari ini.
Sambil menarik nafas lega, Muhammad Fairuz A. Rahman, 40, berkata dia yang mengusahakan kedai makan Pit Stop Sungai Kahang, sempat membuat demonstrasi masakan serta mempersembahkan ‘menu istimewa’ iaitu Ikan Lais Tempoyak, yang sinonim dengan kawasan Kahang kepada Tunku Ismail, yang mengetuai konvoi Diraja tahun ini.
“Sebelum ini, bermacam-macam perasaan muncul dalam hati saya, berdebar ada, takut ada. Tetapi bila TMJ (Tunku Mahkota Johor) sudah merasai masakan dan memberikan respons yang positif, akhirnya saya berasa lega dan bersyukur.
“Sepanjang 20 tahun saya membuka kedai makan, inilah kali pertama masakan saya dirasai oleh kerabat Diraja Johor, lebih-lebih lagi TMJ,” katanya ketika ditemui pemberita di Sungai Teminggol, Kampung Sri Lukut di sini hari ini. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P10-3Tempoyak_07082023.jpg)