Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – QAF Auto Sdn Bhd, pengedar tunggal kereta jenama BMW, memperkenalkan dua model baharu iaitu BMW X2 M35i xDrive dan X2 sDrive18i di Bilik Pameran QAF Auto, Perindustrian Beribi, petang ini.
Hadir selaku tetamu kehormat untuk melancarkan dua model tersebut ialah Pengarah Urusan Baiduri Finance di Kumpulan Bank Baiduri, Haji Haliluddin bin Dato Haji Talib dan Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo.
Menyentuh mengenai model X2 M35i yang dihasilkan di kilang pemasangan Kumpulan BMW di Regensburg, ia menampilkan ciri-ciri elegan termasuk jeriji ikonik dan lampu utama LED adaptif dengan lampu tinggi matriks.
Dikuasakan oleh enjin empat silinder dua liter, ia menghasilkan output maksimum 221kW/300hp pada 5,750 hingga 6,500rpm dan boleh memecut ke 100kmsj dalam masa 5.4 saat.
Manakala model BMW X2 sDrive18i dilengkapi dengan enjin tiga silinder 1.5 liter yang menghasilkan output maksimum 115 kW/156 hp pada 4,900 hingga 6,500 rpm.
Transmisi Steptronic tujuh kelajuan dengan klac berkembar disediakan dalam model itu.
Reka bentuk yang garang dan maskulin menampilkan ciri coupe dan grafik tingkap yang ‘langsing’.
Kedua-dua model baharu itu menampilkan reka bentuk ekspresif yang membezakannya daripada Sport Activity Vehicle (SAV). BMW X2 baharu itu lebih panjang dengan ukuran 4,554 milimeter, lebar 1,845 milimeter dan tinggi 1,590 milimeter. Jarak roda dan trek yang lebih besar memberikan ruang yang lebih luas di dalam kabin dan but dengan kapasiti bagasi 560 liter, yang boleh ditingkatkan kepada 1,470 liter dengan tempat duduk belakang dilipat.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai dengan model baharu berkenaan, bolehlah menghubungi QAF Auto atau mengunjungi bilik pamerannya.