Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – MINI Asia dan QAF Auto memperkenalkan dua model berprestasi tinggi terbaharu, iaitu MINI John Cooper Works dan MINI John Cooper Works Countryman ALL4 ke pasaran Brunei Darussalam hari ini.
Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder TwinPower Turbo yang menjanjikan keseronokan pemanduan maksimum, prestasi mantap serta rekaan aerodinamik yang memikat.
Menurut kenyataan QAF Auto, model MINI John Cooper Works menawarkan ciri-ciri ikonik dari segi prestasi pemanduan serta reka bentuk mewah yang menjadi identiti unik MINI, kini dipertingkatkan lagi dengan enjin dua liter berkuasa 231 hp dan tork 380 Nm.
Dipadankan bersama transmisi automatik dwi-klac, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.1 saat saja, dengan kelajuan maksimum 250
km/j.
Bahagian luarannya menampilkan gril hadapan oktagon berkilat hitam dengan lubang udara lebar untuk penyejukan enjin yang efisien. Reka bentuk hadapan diperkaya dengan sisipan berwarna merah, menonjolkan gaya perlumbaan yang agresif.
Di bahagian belakang, penyebar udara hitam dengan paip ekzos berkembar di tengah menyerlahkan penampilan sporty MINI.
Sementara itu, MINI John Cooper Works Countryman ALL4 merupakan model paling besar dalam rangkaian MINI. Ia tampil sebagai SUV berprestasi tinggi yang sesuai untuk semua jenis permukaan termasuk jalan lasak.
Enjin berkuasa 300 hp dengan tork maksimum 400 Nm menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang gemarkan pengembaraan bergaya dan berkuasa.
Manakala reka bentuk hadapan menampilkan elemen aerodinamik bersama pemantul merah yang memantapkan kedudukan lebar dan teguh, sementara lampu belakang tegak dengan mod tandatangan JCW menambah identiti unik kepada rekaan bahagian belakang.
Kedua-dua model JCW menampilkan ruang dalaman yang bersih dan sporty, dengan elemen rekaan khas JCW dalam warna hitam dan merah. Tempat duduk sportif JCW menawarkan sokongan kukuh semasa pemanduan agresif, manakala stereng sport dengan jahitan merah memberikan kawalan optimum.
Kemasan dalaman turut menggabungkan material kulit sintetik hitam dengan fabrik rajutan berwarna pada bahagian bahu, serta panel papan pemuka dengan jahitan merah yang menarik. Selain itu, pengalaman pemanduan dipertingkatkan lagi dengan sistem bunyi Harman Kardon yang disediakan sebagai ciri standard.
Ciri-ciri lain termasuk teknologi terkini seperti MINI Experience Modes, termasuk Go-Kart Mode yang menetapkan stereng lebih responsif dan pedal minyak lebih sensitif, sekali gus menawarkan pengalaman pemanduan luar biasa kepada pelanggan di Brunei.