Thursday, May 1, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua negara meterai perjanjian keselamatan serantau

    MANILA, 30 APRIL – Filipina dan New Zealand menandatangani satu perjanjian hari ini, yang membenarkan penempatan tentera di wilayah masing-masing, dalam usaha memperkukuh keselamatan serantau ketika persekitaran strategik dilihat semakin merosot.

    Perjanjian Pasukan Lawatan (VFA) itu merupakan yang terbaharu dalam siri kerjasama pertahanan yang dimeterai oleh Manila, susulan ketegangan berterusan di Laut China Selatan.

    Menteri Pertahanan New Zealand, Judith Collins, berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama dalam mempertahankan peraturan berasaskan undang-undang antarabangsa.

    “Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri kami, New Zealand berhasrat melindungi serta memajukan kepentingannya di Indo-Pasifik, dan kami hanya boleh mencapainya dengan kerjasama rakan strategik,” katanya.

    Tambah Collins, kedua-dua negara mempunyai “pemahaman yang jelas bahawa persekitaran strategik semasa semakin meruncing.”

    Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro, berkata, “Ada pihak yang menghormati undang-undang antarabangsa, dan ada yang berusaha mentafsirkannya semula.

    “Kita perlu mengekang tingkah laku yang tidak diingini ini,” ujar Teodoro.

    Beliau di samping itu juga menyatakan bahawa Manila dan Wellington akan memulakan kerjasama dalam latihan ketenteraan dua hala.

    Filipina sebelum ini telah menandatangani perjanjian serupa dengan Amerika Syarikat, Australia dan Jepun.

    Teodoro menambah, satu lagi perjanjian dengan Kanada dijangka akan dimeterai dalam masa terdekat. – AFP

    Perjanjian yang baru dimeterai, membenarkan penempatan tentera di wilayah masing-masing, susulan majlis menandatangani perjanjian di Istana Malacanang, Manila, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda