Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua nelayan hilang selepas bot terbalik di Bintulu

    BINTULU, 6 NOV – Dua nelayan dilaporkan hilang, manakala empat lagi terselamat selepas bot dinaiki terbalik dan karam akibat laut bergelora dan angin kencang kira-kira tiga batu nautika di barat laut Tanjung Payung di perairan Bintulu petang semalam.

    Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, berkata dua mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai juragan bot, Jender Baem, 65, dan anak lelakinya, Petrus Andrew Jender, 33, sementara empat mangsa terselamat pula ialah warga Indonesia, Nasri Harun, 30, Jamaluddin Rahman, 34, Nardi Harum, 46, dan Tomi Hardi, 20.

    Beliau berkata seorang daripada empat mangsa yang diselamatkan mengalami kecederaan pada tangan dan dagu, dan dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

    Beliau berkata kejadian itu dimaklumkan kepada Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Kuching selepas pihaknya menerima laporan daripada nakhoda kapal tunda TB SWEE sekitar 6:15 petang semalam, yang memaklumkan telah menyelamatkan empat mangsa di lokasi kejadian.

    “Seorang mangsa yang terselamat, Nasri Harun memberitahu bot nelayan kelas C yang mereka naiki karam akibat keadaan laut bergelora dan dua lagi rakan mereka masih belum ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Berikutan itu, Muhammad Suffian Eldine berkata MRSC Kuching telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat), dengan bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) digerakkan ke kawasan kejadian bagi menjalankan operasi pencarian. – Bernama

    Dua nelayan dilaporkan masih hilang di barat laut Tanjung Payung, di perairan Bintulu, pada 5 November. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda