Oleh Nour Maghfirah –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Majistret Abdul ‘Azim bin Othman kelmarin menjatuhkan hukuman ke atas dua warga Brunei kerana memasuki zon keselamatan secara haram di sekitar pemasangan luar pesisir di perairan Brunei.
Abdul Manap bin Haji Abu Bakar, 59, didenda $5,500, dengan hukuman penjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut. Manakala hukuman denda sebanyak $3,000 dikenakan ke atas anaknya, Muhd Mahfz bin Abdul Manap, 32, selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka di bawah Seksyen 132 (6) Perintah Perkapalan Pedagang 2002.
Menurut Pendakwa Raya Aeny Zullizam, kejadian itu berlaku pada 14 Mei 2023, apabila defendan, yang menaiki bot nelayan kaca gentian berdaftar, dikesan oleh dron pengawasan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dalam zon keselamatan 500 meter sekitar pemasangan luar pesisir SKWJ-01.
Dron itu menyampaikan hasil penemuan itu kepada pihak Polis Marin, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Perikanan dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, yang sedang menjalankan Operasi Menangin pada masa itu.
Apabila menyedari kehadiran pihak-pihak berkuasa, kedua-dua defendan cuba melarikan diri tetapi berjaya dipintas kira-kira 5.8 kilometer dari tempat pemasangan.
Mereka ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin, di mana pemeriksaan ke atas bot mereka menemui peralatan menangkap ikan dan 83 kilogram ikan.
Dalam siasatan, Abdul Manap mengaku mengarahkan anaknya mengemudi bot ke arah pemasangan luar pesisir dan menambatnya pada salah satu tiang besi. Semasa dia berehat, anaknya meneruskan memancing di kawasan larangan.
Ketika menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira kedua-dua defendan adalah pesalah kali pertama di bawah Perintah Perkapalan Pedagang tersebut.