Sunday, February 16, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua panda gergasi pertama Jerman dihantar pulang ke China

    BERLIN, 18 DIS – Zoo Berlin telah menghantar dua ekor panda gergasi pertama yang dilahirkan di Jerman ke China, dalam perjalanan yang tertangguh akibat pandemik COVID-19.

    Pit dan Paule, yang juga dikenali dengan nama Cina, Meng Xiang dan Meng Yuan, berlepas dari Berlin pada Sabtu menaiki pesawat kargo Air China dan kini telah tiba di rumah baharu di Pangkalan Panda Chengdu, kata pihak zoo tersebut hari ini.

    “Pit dan Paule tidak menghadapi masalah dalam penerbangan itu,” kata Andreas Pauly, ketua kesihatan haiwan zoo, yang menemani panda-panda itu ke China.

    “Apabila keadaan buluh itu sesuai, panda biasanya sangat santai. Begitu juga ketika dalam penerbangan.”

    Haiwan-haiwan itu kini akan menghabiskan 30 hari dalam kuarantin di pangkalan panda.

    Panda-panda muda itu merupakan tarikan utama di Berlin sejak lahir pada 2019, tetapi kepulangan haiwan-haiwan tersebut ke China telah dipersetujui secara kontrak sejak awal.

    Walaupun selama berpuluh-puluh tahun China memberikan panda kepada negara-negara sahabat sebagai sebahagian daripada dasar ‘diplomasi panda’, negara itu kini meminjamkan panda kepada zoo secara komersial.

    Ibu bapa Pit dan Paule iaitu Jiao Qing dan Meng Meng, tiba di Berlin pada 2017. Haiwan-haiwan tersebut dijangka akan tinggal di ibu negara Jerman selama sembilan tahun lagi. – AP

    Pit dan Paule memanjat dalam kandang semasa ulang tahun hari kelahiran pertama haiwan-haiwan itu di Berlin, Jerman, pada 31 Ogos 2020. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda