Saturday, July 6, 2024
22.2 C
Brunei

    -

    Dua pasu marmar purba dikembalikan ke Greece

    ATHENS, 3 JULAI – Dua pasu marmar yang dirampas, yang menandakan kubur warga Athens purba lebih 2,000 tahun lalu, telah dikembalikan ke Greece dari Switzerland, menurut Kementerian Kebudayaan Greece dalam satu kenyataan, kelmarin.

    Dua pasu marmar kuno berwarna putih yang dihiasi dengan ukiran relief itu telah dibawa pulang selepas perbicaraan undang-undang yang panjang. Kedua-duanya mengalami kerosakan, dengan bahagian atas dan asas yang hilang. Satu berukuran 60 sentimeter tinggi, manakala satu lagi berukuran 54 sentimeter. Pasu-pasu tersebut dianggarkan berasal dari abad ke-4 sebelum masihi dan kemungkinan besar diletakkan di kubur keluarga di sekitar Athens. Namun, kerana digali secara rahsia dan dieksport secara haram, lokasi tepatnya tidak mungkin akan ditemui.

    Satu pasu dihiasi dengan ukiran keluarga, menunjukkan seorang lelaki tua yang duduk sedang mengucapkan selamat tinggal kepada anak lelakinya — yang memakai perisai askar Athens kuno — dan isterinya. Pasu yang lain pula diukir dengan corak tumbuhan.

    Dalam gambar fail tidak bertarikh yang disediakan oleh Kementerian Kebudayaan Greece pada 2 Jun, memaparkan sebuah pasu marmar purba dengan ukiran sebuah keluarga. – AP

    Menteri Kebudayaan Greece, Lina Mendoni, berkata pengembalian barang antik yang dirampas dari luar negara adalah ‘keutamaan politik utama’ bagi kementeriannya, yang telah berjaya mendapatkan beberapa pemulangan profil tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Kenyataan kementerian itu berkata, dua pasu tersebut pertama kali ditemui pada 2002 di Basel, Switzerland, semasa serbuan oleh pihak berkuasa Itali dan Switzerland ke atas sebuah gudang yang digunakan oleh seorang peniaga barang antik Itali. Namun pada 2014, ia telah dikembalikan kepada peniaga tersebut selepas mahkamah Itali memutuskan bahawa pasu-pasu itu bukan berasal dari Itali.

    Pada tahun 2017, pihak berkuasa Greece menyedari bahawa karya-karya tersebut ditawarkan untuk dijual oleh seorang peniaga Switzerland dan berjaya memohon penyitaan oleh Switzerland. Kementerian berkata, pihak berkuasa Switzerland telah menjual pasu-pasu itu kepada peniaga kedua untuk menampung kos undang-undang yang ditanggung oleh peniaga Itali.

    Selepas lebih enam tahun proses perundangan, pasu-pasu itu diserahkan kepada pegawai Greece pada 26 Jun selepas rundingan luar mahkamah, kata kementerian itu. Pasu-pasu itu akan dipamerkan di sebuah muzium bersama penemuan dari Kerameikos, perkuburan utama Athens kuno. – AP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pakistan umum biasiswa untuk pelajar Palestin

    KARACHI, 5 JULAI – Pakistan akan menyediakan biasiswa untuk pelajar-pelajar perubatan Palestin dari Gaza bagi melanjutkan pengajian mereka di negara itu, lapor agensi Anadolu...