Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Pasukan Daerah Brunei dan Muara, dan Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) berjaya mengutip pingat emas pertama masing-masing bagi Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam kali ke-4 dalam acara sukan kiu di Bilik Snooker II Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Berakas hari ini.
Dalam Kategori 9-Ball Berpasangan Lelaki, Pasukan Daerah Brunei dan Muara menyaksikan gandingan Mohd Azim dan Mohd Khalid berhasil menewaskan Duo Mahmood dan Abdul Mansyor Syuwari dari Pasukan Daerah Tutong.
Pada perlawanan itu gandingan Pasukan Daerah Brunei dan Muara muncul sebagai juara dengan kutipan mata 9-4 dan memenangi pingat gangsa bersama adalah Pasukan Daerah Belait dan Pasukan Gabungan Syarikat Telekomunikasi Brunei.
Dalam acara 6 ball Snooker lelaki pula menyaksikan Gabungan Muhidi dan Mohd Noorhasremi dari Pasukan MS ABDB berjaya menumpaskan gandingan Lim Han Lun dan Lim Young Wee dari Pasukan Daerah Tutong dengan mata 1 – 3.
Muncul menerima pingat gangsa bersama adalah Pasukan Daerah Brunei dan Muara dan Pasukan Daerah Temburong.
