Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Sebagai sebahagian daripada usaha Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam kewangan Islam, dua ahli pengurusan kanan bank berkenaan, Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah; dan Ketua Perbankan Runcit, Awang Junaidi Bahrum, telah menamatkan Cambridge Islamic Finance Structuring Master Programme (Cambridge IFSM) yang telah diadakan di Madinah, Arab Saudi, baru-baru ini.
Cambridge IFSM, yang dianjurkan oleh Cambridge Institute of Islamic Finance (Cambridge IIF) dengan kerjasama Bahrain Institute of Banking and Finance (BIBF), merupakan salah satu program latihan paling maju dalam kewangan Islam.
Program lima hari itu melengkapkan peserta dengan pengetahuan komprehensif dalam menstrukturkan lebih 60 produk kewangan Islam, termasuk sukuk, takaful dan produk pelaburan Islam, sementara memastikan pematuhan syariah dan kecekapan ekonomi. Tumpuan strategik program terhadap inovasi dan rangkuman kewangan mencerminkan keperluan yang semakin meningkat untuk institusi kewangan Islam menyesuaikan diri dengan landskap pasaran yang semakin berkembang.
Latihan merangkumi bidang utama iaitu menstrukturkan produk pelaburan Islam dengan membangunkan struktur pelaburan yang inovatif, termasuk I-REIT, ekuiti persendirian dan sukuk, sementara mengekalkan pematuhan syariah; penggunaan teknologi dalam kewangan Islam dengan meneroka peranan FinTech dalam meningkatkan pembangunan produk dan pengalaman pelanggan; dan juga menumpukan kepada bidang struktur rangkuman kewangan dengan mereka bentuk produk kewangan mikro untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan dan menggalakkan rangkuman kewangan.
Selain itu, latihan berkenaan turut meliputi bidang utama menjurus kepada kewangan sosial dan mutualiti Islam dengan menstrukturkan model takaful dan koperasi untuk menyokong penyelesaian kewangan yang didorong oleh impak sosial; serta inovasi dalam sukuk dengan memperkenalkan struktur Sukuk baharu, termasuk kecairan pengurusan dan produk berstruktur.
Penyertaan BIBD dalam program ini mencerminkan fokus strategiknya terhadap produk inovasi, transformasi digital dan rangkuman kewangan, tunggak utama sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan BDCB.
Di samping itu, ia juga sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menawarkan penyelesaian kewangan yang inovatif dan patuh syariah yang memenuhi perkembangan keperluan pelanggan dan mengukuhkan statusnya sebagai institusi kewangan Islam utama Brunei.
