Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Dua pegawai daripada Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), iaitu Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri dan Timbalan Setiausaha Agung (LN), Haji Yahya bin Haji Mirasan telah menghadiri Mesyuarat Persediaan Awal Majlis Guru-guru ASEAN + Korea (ACT +1) ke-39 yang berlangsung di Filipina pada 14 hingga 17 Mac.
Pada Mesyuarat Ketua-ketua ACT+1 yang bersidang pada 15 Mac lalu, para wakil telah bersetuju bahawa Persidangan ACT+1 akan diadakan pada 19 hingga 21 September di Hotel Waterfront, Cebu, Republik Filipina.
Mesyuarat berkenaan juga bersetuju dengan tema persidangan tahun ini, iaitu Educators: Humanizing Education Amidst Rapidly Changing Landscapes.
Semasa persidangan itu nanti, beberapa laporan negara dan sesi selari akan diadakan dengan pelbagai tema yang ditetapkan bagi setiap negara ASEAN terlibat.
Selain itu, keramaian delegasi keseluruhannya juga telah ditetapkan pada kira-kira 600 orang delegasi.
PGGMB akan menghantar kira-kira 40 orang delegasi dengan harapan persidangan itu akan dapat memberikan manfaat yang berguna kepada guru-guru yang menghadiri persidangan berkenaan.