Tuesday, February 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua peguam dipenjara lebih 10 tahun

    BEIJING, 10 APRIL – Dua peguam hak asasi manusia China yang terkenal, termasuk seorang yang meminta pemimpin Xi Jinping meletak jawatan, telah dipenjarakan selama lebih 10 tahun, kata kumpulan peguam bela dan salah seorang isteri lelaki itu hari ini.

    Xu Zhiyong dan rakan kempen, Ding Jiaxi disabitkan dengan ‘subversi kuasa negara’ berikutan perbicaraan tertutup.

    Kedua-duanya adalah tokoh terkemuka dalam Pergerakan Rakyat Baharu, sebuah kumpulan hak sivil yang menyeru pembaharuan perlembagaan dan mengkritik rasuah kerajaan.

    Xu, yang menggesa Presiden Xi berundur kerana menangani wabak COVID-19, dipenjarakan selama 14 tahun selepas perbicaraan tertutup di wilayah Shandong di timur China, kata kumpulan advokasi, Human Rights Watch (HRW).

    Ding “dipenjara 12 tahun dan dilucutkan hak politik selama tiga tahun”, isterinya, Luo Shengchun memberitahu AFP, merujuk kepada hukuman di China yang melarang orang yang disabitkan daripada memegang jawatan awam.

    Ketika diminta mengulas oleh AFP, seorang pegawai mahkamah enggan mengesahkan pemenjaraan itu.

    Kebebasan sivil dan kebebasan bersuara semakin berkurangan di bawah pemerintahan Xi selama sedekad, kata kumpulan hak asasi manusia.

    “Sabitan dan hukuman kejam yang dijatuhkan kepada Xu Zhiyong dan Ding Jiaxi menunjukkan permusuhan berterusan Presiden Xi Jinping terhadap aktivisme aman,” kata penyelidik China di HRW, Yaqiu Wang.

    Perbicaraan Xu dan Ding “dipenuhi masalah prosedur dan dakwaan penganiayaan”, kata kumpulan asasi manusia.

    Ding telah ditahan pada Disember 2019 selepas menghadiri mesyuarat sulit melibatkan aktivis hak asasi manusia dan peguam, termasuk Xu di wilayah Fujian, tenggara China. – AFP

    Kedua-dua peguam tersebut dijatuhi hukuman penjara kerana telah mengkritik kepimpinan Xi Jinping. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda