Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua pelajar cemerlang terima Biasiswa PT ABDB

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah mengurniakan titah perkenan bagi penganugerahan Biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PT ABDB) bagi tahun 2024 kepada dua orang penuntut cemerlang.

    Sehubungan itu, Majlis Penandatanganan Perjanjian dan Penganugerahan Biasiswa PT ABDB itu telah diadakan di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, hari ini.

    Hadir menyempurnakan penyampaian sijil penganugerahan dan cenderamata kepada para penerima Biasiswa PT ABDB ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB, ahli Badan Proses Penilaian Biasiswa PT ABDB 2024, pengarah, para pegawai kanan dan anggota Kementerian Pertahanan, serta para ibu bapa dan penjamin-penjamin para penerima biasiswa.

    Menandatangani bagi pihak Kementerian Pertahanan ialah Pemangku Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim bagi penerima biasiswa yang akan menceburi bidang kerjaya tentera di dalam ABDB dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B), Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin bagi penerima biasiswa yang akan menceburi bidang kerjaya awam di Kementerian Pertahanan.

    Kedua-dua penerima anugerah Biasiswa PT ABDB 2024 merupakan penuntut lepasan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dan telah pun menamatkan pengajian di Peringkat A.

    Mereka ialah Dayang Rizawani binti Zaini yang akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dan Politik di University of Bristol, United Kingdom serta Awang Muhammad Nu’man Syafiq bin Suhamri yang akan mengikuti pengajian di Australian Defence Force Academy, Australia bagi Sarjana Muda dalam bidang Sains Komputer.

    Skim Biasiswa PT ABDB merupakan salah satu skim biasiswa yang berprestij dengan tujuan utama untuk melahirkan para pemimpin muda yang cemerlang dan berpotensi, yang akan menyumbang kepada perkembangan negara khususnya di dalam bidang pertahanan dan sekuriti.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama para penerima biasiswa dan ibu bapa mereka. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda