Friday, September 20, 2024
34.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua pelajar cemerlang UNISSA timba pengalaman di Jepun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Dua orang pelajar Tahun 3 Program Pra Siswazah Sarjana Muda Sains Halal di Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah berlepas ke Osaka, Jepun bagi menjalani latihan industri dengan matlamat untuk mendedahkan mereka kepada situasi dan alam pekerjaan yang sebenar.

    Pelajar berkenaan akan ditempatkan di Kampus Suita, Osaka University, Jepun di mana mereka akan menjalani latihan industri selama 75 hari.

    Kedua-dua pelajar itu telah menerima biasiswa melalui Skim At Tamayyuz, UNISSA bagi pelajar yang cemerlang dalam akademik.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlepas kepada pelajar berkenaan ialah Pengarah di Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim.

    Semasa latihan industri berkenaan, para pelajar akan berpeluang berinteraksi dengan pekerja lain dan secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan serta kemahiran berkomunikasi apabila berhadapan dengan masyarakat sekeliling.

    Pelajar juga akan berpeluang menjalankan penyelidikan secara praktikal berkenaan dengan aspek halal semasa berada di Osaka, Jepun.

    Keperluan dan permintaan dalam penyelidikan halal semakin meningkat memandangkan lebih ramai pengguna daripada kalangan orang Islam dan bukan Islam mulai peka mengenai kepentingan dan kelebihan aspek halal dan thayyiban dalam makanan.

    Osaka University dan UNISSA sangat aktif dalam jaringan kerjasama dari segi program pengantarabangsaan pelajar, mobiliti dan juga penyelidikan dalam bidang sains, teknologi dan sains sosial.

    Ia merupakan kekuatan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban sebagai pusat kecemerlangan dalam penyelidikan disiplin sains halal.

    Pengiran Dr Hajah Norkhairiah bersama dua pelajar UNISSA yang berlepas ke Osaka, Jepun bagi menjalani latihan industri selama 75 hari. – Gambar serahan UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda