Dua pelajar dianugerahkan biasiswa Jepun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Dua orang pelajar iaitu Awang Abdul Azim Muhammad Zulhilmi dan Chung Ming Hui, akan berlepas ke Jepun sebagai pelajar penyelidikan di bawah biasiswa kerajaan Jepun bagi melanjutkan pengajian mereka dalam bidang utama masing-masing di universiti Jepun bagi tempoh dua atau tiga tahun, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Awang Abdul Azim akan melanjutkan pelajaran di Hokkaido University manakala Chung Ming Hui akan meneruskan pembelajaran di University of Tsukuba. Kedua-dua pelajar berkenaan berpeluang untuk bertemu dengan Timbalan Ketua Misi dan Kaunselor di Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Abe Hiroshi pada majlis yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, sebelum mereka berlepas ke Jepun.

Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT), Jepun menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar antarabangsa yang ingin untuk belajar dalam kursus-kursus peringkat graduan di universiti-universiti di Jepun sebagai pelajar penyelidikan di bawah Program Biasiswa Kerajaan Jepun (MEXT).

Biasiswa itu bermatlamat untuk memupuk individu yang belajar dan membuat penyelidikan di Jepun menjadi sebagai jambatan persahabatan di antara negara individu berkenaan dan Jepun serta akan menyumbang kepada pembangunan kedua-dua buah negara dan juga dunia.

Bagi mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat mengenai Biasiswa Kerajaan Jepun (MEXT) yang ditawarkan, mereka boleh melayari laman sesawang Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, http://www.bn.emb-japan.go.jp/itpr_en/education.html.

Abe Hiroshi bersama Awang Abdul Azim dan Chung Ming Hui semasa menghadiri majlis yang diadakan di Bandar Seri Begawan sebelum mereka berlepas meninggalkan Brunei Darussalam.- Gambar serahan Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam