Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Dua orang pelajar Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Kemahiran Vokasional Guangxi-ASEAN 2024 bagi Ujian Kualiti Air untuk Pelajar Universiti dan Kolej Vokasional yang sangat kompetitif, baru-baru ini.
Menurut kenyataan UTB, pertandingan berprestij anjuran Politeknik Pembinaan Guangxi (GXPC) yang diadakan itu merupakan komponen utama terhadap Clean Water Action: China-ASEAN Youth Envoys Programme yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan perlindungan alam sekitar dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan anak muda di China dan negara-negara ASEAN.
Ketibaan Jaicquailina Vanessa anak Ujai dan Awang Abdul Hannan As’ari bin Haji Abdul Khalid As’ari telah disambut mesra oleh GXPC dan wakil Go Study.
Semasa berada di sana, mereka turut menyertai lawatan yang mengetengahkan transformasi Nanning menjadi bandar span – model perancangan bandar inovatif yang direka untuk mengurangkan banjir di bandar itu, kekurangan air dan kesan pulau haba melalui infrastruktur hijau.
Model berkenaan memupuk pembangunan bandar yang mampan melalui pertanian pintar dan amalan alam sekitar yang maju.
Sebagai sebahagian daripada memperkaya pengalaman, pelajar-pelajar juga berpeluang mengambil bahagian dalam Festival Pertukaran Pemimpin Muda ASEAN-China ke-10, di mana mereka bertemu semula dengan dua bekas pelajar UTB yang kini melanjutkan pengajian pasca siswazah di Beijing dan Shanghai.
Pensyarah UTB, Dr Sharina Yunus dipetik menjelaskan, “Walaupun jadual mereka padat dengan projek tahun akhir dan peperiksaan tahun akhir, Jaicquailina dan Awang Abdul Hannan telah melakukan usaha yang membanggakan, dedikasi dan kerja keras mereka sungguh mengagumkan.”
Prestasi cemerlang kedua-dua pelajar berkenaan adalah bukti komitmen UTB terhadap kecemerlangan dalam pendidikan dan latihan.
Kejayaan mereka turut menekankan dedikasi universiti untuk memupuk pemimpin muda yang bersedia bagi menangani cabaran alam sekitar global dan menyumbang kepada pembangunan mampan.


