Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Rombongan yang terdiri daripada dua orang pelajar, seorang guru selaku peserta dan mentor bersama seorang pegawai tambahan selaku pegawai pengiring telah berlepas bagi menyertai Forum Sains Remaja Antarabangsa (ISYF) ke-16, 2024 yang berlangsung di Hwa Chong Institution, Republik Singapura bermula esok hingga 12 Januari.
Penyertaan rombongan negara dalam forum anjuran Institusi Hwa Chong (seksyen kolej) dan disokong oleh Kementerian Pendidikan, Republik Singapura itu telah diselaraskan oleh Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pintar dan Berbakat (EDGE), Kementerian Pendidikan dengan rombongan berlepas ke Republik Singapura, kelmarin.
Rombongan diwakili oleh dua orang pelajar Tahun 12 di bawah Skim Biasiswa Khas Dalam Negeri (Skim Biasiswa Pra Universiti) di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) iaitu Awang Muhamad Shafwanul Bakri bin Haji Muhammad Seruddin dan Dayang Nurun Nasriyah binti Haji Awang Nor Asilin.
Sementara itu, Dayang Vijayanthi Vijayan dari Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar hadir selaku peserta forum dan mentor kepada para pelajar berkenaan dengan Pegawai Pengiring dari Pusat EDGE, Dayang Lunayati binti Tuah mengetuai rombongan.
Salah seorang peserta, Dayang Nurun Nasriyah menyatakan ucapan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pendidikan atas pemilihan dan memberikan peluang kepada rombongan berkenaan untuk menjadi wakil dalam ISYF ke-16.


Beliau seterusnya menyatakan perasaan bersyukur atas peluang yang diberikan bagi meneroka dan mengembangkan ilmu pengetahuannya dalam dunia sains.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada guru-guru dari EDGE atas tunjuk ajar dan bantuan mereka bagi membimbing mereka dalam proses ISYF.
Forum diadakan secara tahunan dengan tujuan untuk menyediakan landasan bagi para pelajar yang berumur antara 16 hingga 17 tahun berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel dan saintis terkemuka dalam bidang sains.
ISYF 2024 membawa tema Science and Technology for Humanity: Building a Sustainable Future di mana para peserta juga berpeluang bagi menyertai aktiviti dan sesi seperti berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel dan para saintis terkenal, sesi dialog dan masterclass, aktiviti sains kolaboratif; Singapore Discovery Trail, Cultural Hour serta pameran.
Wakil pelajar dari Negara Brunei Darussalam juga akan berkongsi poster penyelidikan mereka yang bertajuk Expanding Brunei’s Green Energy: Solar Power semasa sesi pameran poster.
Forum berkenaan juga bertujuan bagi memperkaya dan meningkatkan kecekapan pedagogi guru melalui lawatan seperti ke National Institute of Education dan Science Centre Singapore.
Melalui sesi dialog dan sesi masterclass bersama penerima Hadiah Nobel, para saintis terkenal dan pakar dalam bidang sains juga dapat meningkatkan hubungan rapat dan kerjasama antara pendidik pada masa hadapan.

