Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua pelancong maut akibat keracunan asap serangga

    COLOMBO, 9 FEB – Polis Sri Lanka berkata kelmarin mereka sedang menyiasat kematian dua pelancong asing, yang disyaki meninggal dunia akibat keracunan selepas pengasapan terhadap serangga di bilik asrama mereka.

    Pelancong, kedua-dua wanita, warga Britain berusia 24 tahun dan Jerman berusia 26 tahun, ditemui sakit di bilik asrama mereka di ibu negara Colombo.

    Warga Britain itu, yang keluarganya dinamakan sebagai Ebony McIntosh, meninggal dunia di hospital 2 Februari lalu, pada hari yang sama dia tiba di asrama.

    Manakala wanita Jerman itu pula telah meninggal dunia pada 3 Februari, kata polis.

    Sementara itu, seorang lelaki Jerman masih menerima rawatan di hospital.

    Polis berkata pemeriksaan telah dijalankan untuk menentukan sama ada kematian itu berpunca daripada keracunan akibat pengasapan bilik.

    Media Sri Lanka melaporkan bahawa asrama itu telah diberi pengasapan untuk pepijat katil dan perosak lain beberapa hari sebelumnya, dan mengatakan bahawa asrama itu telah ditutup oleh polis.

    Keluarga McIntosh telah melancarkan laman bagi pengumpulan dana dalam talian untuk membawa pulang mayatnya, dengan menggambarkan bagaimana dia dan orang lain di asrama dikejarkan ke hospital untuk dirawat kerana muntah, loya dan dalam kes Ebony, kesukaran bernafas. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda