SYDNEY, 25 Sept – Dua orang pelayar solo yang terkandas di Lautan India semasa perlumbaan mengelilingi dunia berada dalam ‘keadaan stabil dan baik’ selepas diselamatkan dalam satu operasi multinasional, jelas pihak berkuasa Australia hari ini.
Kapal layar Abhilash Tomy (warga India) dan Gregor McGuckin (Ireland), mengalami kerosakan semasa ribut Jumaat lalu, menyebabkan mereka hanyut kira-kira 3,500 kilometer luar pantai barat Australia.
Sebagai salah satu usaha antarabangsa mencari kedua-dua lelaki itu, mereka kemudian berjaya diselamatkan menggunakan kapal peronda perikanan Perancis, FPV Osiris, semalam.
“Kedua-dua pelayar pada peringkat ini dilaporkan dalam keadaan baik dan stabil,” Al Lloyd dari agensi penyelarasan Autoriti Keselamatan Maritim Australia.
Llyod berkata kedua-dua pelayar dijangka tiba di pulau Ile Amsterdam, berdekatan Lautan India lewat hari ini, di mana mereka akan diperiksa oleh para doktor. Tomy, 39, mengalami kecederaan teruk akibat ribut itu, di mana dia tidak dapat bergerak kerana kecederaan belakang, menurut penganjur perlumbaan.
McGuckin, 32, tidak mengalami kecederaan namun berkata dia meninggalkan layarnya selepas ia rosak. Dia kemudian cuba pergi kepada Tomy (cedera) untuk membantunya.
Pada tahap ini, rancangan adalah untuk memindahkan mereka ke kapal perang Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Ballarat setiba mereka di pulau tersebut dan kemudian membawa mereka ke Australia.
Perlumbaan Golden Globe melibatkan pelayaran sejauh 30,000 batu menggunakan kapal layar serupa yang digunakan buat pertama kali dalam perlumbaan 50 tahun yang lalu, tanpa teknologi moden kecuali kelengkapan komunikasi. – AFP