Saturday, December 28, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua pelayar maut dalam perlumbaan kapal layar

    SYDNEY, 27 DIS – Dua pelayar maut dalam insiden berasingan semasa perlumbaan kapal layar tahunan Sydney ke Hobart, kata penganjur hari ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Menurut kenyataan penganjur, seorang kru kapal layar Flying Fish Arctos dan seorang pelayar dari kapal Bowline maut akibat terkena tiang layar kapal masing-masing.

    Ketika insiden berlaku, kapal Flying Fish Arctos berada kira-kira 30 batu nautika ke timur/tenggara Ulladulla, manakala Bowline terletak 30 batu nautika ke timur/timur laut Batemans Bay.

    Usaha untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa gagal.

    Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyampaikan ucapan takziah dan menyifatkan kehilangan itu sebagai sesuatu yang menyayat hati.

    “Perlumbaan Sydney ke Hobart adalah tradisi Australia, dan amat menyedihkan apabila dua nyawa terkorban dalam acara yang sepatutnya membawa kegembiraan.

    “Kami mengucapkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga, rakan-rakan, dan orang tersayang,” menurut Albanese di platform X.

    Penganjur turut memaklumkan bahawa insiden itu kini sedang disiasat oleh polis perairan.

    Perlumbaan edisi tahun ini menandakan acara ke-79 sejak ia mula diperkenalkan. – Bernama

    Gambar menunjukkan Bowline berlayar semasa permulaan perlumbaan kapal layar Sydney ke Hobart di Sydney pada 26 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda