Dua pelumba Petronas perlu perbaiki prestasi

KUALA LUMPUR, 23 JULAI – Pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing, John McPhee dan Khairul Idham Pawi mahu mengetepikan kekecewaan, sebaliknya menumpukan kepada persiapan bagi menghadapi Grand Prix Andalusia (GP Andalusia) di Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu ini.

McPhee, 26, yang terbabit dalam kemalangan pada selekoh terakhir di GP Sepanyol di litar yang sama Ahad lepas, berkata ketika itu beliau amat mahu meraih kemenangan podium.

“Saya mendapat banyak maklum balas positif serta data perlumbaan yang boleh diguna pakai semasa perlumbaan nanti.

Perkara utama yang perlu saya perbaiki adalah cara memulakan perlumbaan.

“Ritma tunggangan saya baik, kelajuan juga baik, pengendalian motosikal juga baik. Satu-satunya masalah ialah saya ketinggalan semasa permulaan.

Saya mahu mengatasinya hujung minggu ini dan berlumba dengan baik,” kata pelumba dari Scotland dalam kenyataan media oleh pasukan itu hari ini.

Sementara itu, pelumba negara, Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai Super KIP, berharap dapat memanfaatkan kelebihan berlumba di litar yang sama berturut-turut dapat membantu beliau memahami jenteranya dengan lebih baik sebelum perlumbaan hujung minggu ini. – Bernama