Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua pemain import tinggalkan Perak FC

    IPOH, 10 OGOS – Usaha Perak FC untuk mendapatkan khidmat dua pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos dan Rainderson Da Costa bagi mengharungi baki saingan Liga Super pada musim ini, tidak kesampaian apabila kedua-dua pemain nekad meninggalkan pasukan itu.

    Pengurus Besarnya Azman Noh berkata rundingan telah diadakan dengan kedua-dua pemain itu namun persetujuan gagal dicapai ekoran tunggakan gaji selama tiga bulan yang masih belum dilunaskan oleh pihak Perak FC.

    “Pada mulanya, kita ingatkan punca mereka tarik diri disebabkan isu visa ahli keluarga mereka yang tidak diperbaharui dan tertangguh sejak enam atau tujuh bulan lepas. Bila perkara itu telah diselesaikan oleh pihak Perak FC, kita ingatkan mereka bersetujulah untuk kembali pada pasukan.

    “Namun rupanya, mereka tetap tidak mahu kembali. Alasan yang diberi adalah mereka sedang menunggu keputusan peguam mereka di United Kingdom untuk meneruskan saman terhadap kelab disebabkan tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Sebelum ini, Ketua Jurulatih Perak FC, Chong Yee Fat dilaporkan berkata dua pemain tengah, Leandro dan Rainderson telah meninggalkan pasukan itu melalui surat penamatan kontrak yang dihantar kepada pihak pengurusan kelab pada 26 Julai lalu.

    Bagaimanapun dengan kemerosotan aksi Perak FC dalam saingan liga, pihak pengurusan kelab berjanji untuk berusaha memujuk kedua-dua pemain berkenaan kembali ke pangkuan pasukan. Selain itu, Azman berkata pada ketika ini beliau sangat kecewa dengan kelibat empat daripada lima pemain import yang ditandatangani kelab memandangkan mereka tidak memberi sebarang nilai tambah dan hanya menjadi ‘penumpang’ dalam pasukan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda