KUCHING, 15 Feb – Dua pemain Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bersama seorang lelaki yang dipercayai ‘bookie’ di reman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan Liga Premier, Sabtu lalu.
Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan ketiga-tiga mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 selepas menerima permohonan pegawai penyiasat SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi.
Difahamkan, kesemua individu berkenaan ditahan oleh pegawai SPRM di dua lokasi berasingan malam tadi.
Ahad lepas, FAS berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman selepas menerima laporan mengenai ada pemain yang terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.
Siasatan dijalankan susulan kekalahan Sarawak 2-3 kepada pendatang baharu, Felcra FC.
Sarawak mendahului 2-0 dalam perlawanan tersebut namun pada baki tiga minit terakhir perlawanan, pemain import Felcra FC, Anselmo Arruda da Silva atau lebih dikenal sebagai Casagrande mencipta kejutan dengan jaringan hatrik pada minit ke-87 dan dalam tempoh dua minit pada masa kecederaan. – Bernama