Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua pemimpin belia sertai festival di Uzbekistan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Dua pemimpin belia daripada Persatuan Insan KESAN dan Society for Community Outreach & Training (SCOT) telah menyertai Festival Belia Global yang berlangsung di Republik Uzbekistan pada 26 hingga 30 Jun.

    Dianjurkan oleh Agensi Hal Ehwal Belia Republik Uzbekistan dengan kerjasama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), festival tersebut bertujuan untuk mempergiat dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan pelbagai hala dalam bidang belia dan meneroka potensi kerjasama pada masa hadapan dalam pelaksanaan projek-projek dan program yang penting dari segi sosial, pembangunan hubungan budaya dan kemanusiaan, selain menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan persahabatan antara negara-negara di seluruh dunia dan pertubuhan antarabangsa.

    Ia buat pertama kalinya dihoskan oleh Republik Uzbekistan sebagai salah satu inisiatif di bawah resolusi yang dihasilkan semasa Persidangan Islam bagi Menteri Belia dan Sukan (ICYSM) yang telah diadakan pada 2022 di Jeddah, Arab Saudi.

    Dengan membawakan tema Memperkasakan Belia bagi Kerjasama ke arah Strategi Belia PBB 2023, festival itu diadakan untuk menyatukan hampir 1,000 orang belia dari 150 negara yang membincangkan beberapa topik seperti pendidikan, keusahawanan, pekerjaan, kebudayaan dan sukan serta pertukaran program belia yang berkaitan dengan hal ehwal dasar belia.

    Para peserta juga berpeluang untuk meneroka strategi dan kaedah untuk meningkatkan penyertaan belia yang lebih bermakna dan inklusif dalam menggalakkan mereka terlibat secara aktif dalam membuat keputusan di semua peringkat pembuatan dasar dan keputusan.

    Festival tersebut juga memberi tumpuan kepada peranan penting yang boleh dimainkan oleh para belia dalam mewujudkan dunia yang lebih aman dan mampan dengan memberi inspirasi serta penyelesaian semasa menghadapi keadaan yang mencabar.

    Pemangku Pengarah Bahagian Pembangunan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haswandi bin Haji Osman semasa hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas bagi mengucapkan selamat belayar kepada kedua-dua pemimpin belia negara berkenaan sebelum berlepas ke Republik Uzbekistan, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda