Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua penalti Mbappe bantu Madrid menang

    MADRID, 17 SEPT – Kylian Mbappe menyempurnakan dua sepakan penalti untuk Real Madrid ketika juara 15 kali itu memulakan kempen Liga Juara-Juara mereka dengan kemenangan penuh kontroversi 2-1 ke atas Olympique Marseille, semalam.

    Timothy Weah membuka jaringan untuk pasukan pelawat sebelum Mbappe menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti, sementara pemain pertahanan Madrid, Dani Carvajal, dilayangkan kad merah kerana menanduk penjaga gol Marseille, Geronimo Rulli.

    Pasukan bimbingan Roberto De Zerbi tampil berani dan dilihat berpeluang untuk meraih kemenangan sehingga Facundo Medina dihukum kerana kesalahan menyentuh bola, keputusan yang dilihat tidak tepat, membolehkan Mbappe menyempurnakan penalti keduanya.

    Jurulatih Madrid, Xabi Alonso, menerima tamparan awal dalam aksi Eropah sulungnya bersama gergasi Sepanyol itu apabila Trent Alexander-Arnold terpaksa dikeluarkan selepas hanya tiga minit akibat kecederaan.

    Alonso meletakkan Vinicius Junior di bangku simpanan selain beberapa perubahan lain daripada skuad yang menewaskan Real Sociedad dalam aksi La Liga pada Sabtu, bagi meneruskan permulaan sempurna Madrid dalam liga domestik.

    Madrid melalui pramusim yang singkat selepas kejohanan Piala Dunia Kelab, memberi alasan kepada Alonso untuk merombak kesebelasan utama, selain tekadnya memastikan sebanyak mungkin pemain terlibat dalam perlawanan.

    Jude Bellingham tersenarai di bangku simpanan buat kali pertama selepas menjalani pembedahan bahu pada Julai, tetapi dia dan Eduardo Camavinga yang baru pulih tidak diturunkan. – AFP

    Kylian Mbappe menyempurnakan dua sepakan penalti untuk Real Madrid ketika juara 15 kali itu memulakan kempen Liga Juara-Juara mereka dengan kemenangan penuh kontroversi ke atas Olympique Marseille. – AFP
    Kylian Mbappe melepaskan rembatan dari kotak penalti untuk menjaringkan gol kedua pasukannya semasa perlawanan bola sepak Liga Juara-juara UEFA antara Real Madrid dan Olympique Marseille di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid pada 16 September. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda