Dua pendaki asing maut di Everest

KATHMANDU, 13 MEI – Dua pendaki asing, seorang warga Swiss dan seorang lelaki Amerika maut di Gunung Everest dalam kemalangan pertama musim ini di gunung tertinggi dunia itu, penganjur ekspedisi melaporkan hari ini.

Pendaki Swiss, Abdul Waraich, 41, menaiki puncak sebelum berdepan kesukaran, kata Chhang Dawa, penganjur ekspedisi dari Seven Summit Treks di Nepal.

“Abdul berjaya mencapai puncak, tetapi mengalami masalah ketika turun,” katanya. “Kami menghantar dua orang Sherpa tambahan dengan oksigen dan makanan. Malangnya, Sherpa tidak dapat menyelamatkannya. Manakala warga AS, Puwei Liu, 55 juga maut di kem tertinggi di Selatan Col, gunung itu. Dia mencapai puncak Hillary Step, terletak antara South Col dan puncaknya, namun kembali kerana kurangnya kadar penglihatan dan keletihan.

“Dengan bantuan ahli pasukan sokongan dan oksigen tambahan, dia dibawa balik ke kem di South Col namun meninggal dunia malam kelmarin,” kata penganjur. – AP