KATHMANDU, 27 OKT – Seorang pendaki dari Perancis dan seorang lagi dari Korea Selatan dilaporkan maut ketika menyertai ekspedisi di Gunung Ama Dablam di Nepal, sebuah gunung yang indah tetapi terkenal dengan cabaran pendakiannya, menurut pengarah pelancongan hari ini.
Pendaki Perancis, Hugo Lucio Colonia Lazaro, 65, jatuh sakit ketika menuruni puncak setinggi 6,812 meter minggu lalu.
“Beliau dibawa ke Kathmandu dengan helikopter pada Rabu dan meninggal dunia keesokan harinya,” kata Pengarah Jabatan Pelancongan, Himal Gautam kepada AFP.
Sementara itu, pendaki Korea Selatan, Hong Khy Park, 66, meninggal dunia antara Kem 1 dan Kem 2 ketika dalam perjalanan mendaki Gunung Ama Dablam pada Sabtu, menurut jabatan berkenaan yang tidak menyatakan punca kematiannya.
Gunung Ama Dablam, yang terletak di wilayah Khumbu, Nepal, dianggap sebagai gunung yang sangat mencabar dari segi teknikal kerana tebingnya yang curam.
Nepal, yang menjadi lokasi kepada lapan daripada 10 puncak tertinggi di dunia termasuk Gunung Everest, menerima ratusan pendaki setiap tahun.
Ekspedisi musim luruh di pergunungan Himalaya biasanya kurang popular kerana tempoh siang yang lebih singkat, cuaca lebih sejuk, keadaan bersalji serta tempoh pendek bagi mencapai puncak berbanding musim bunga yang lebih sibuk. – AFP


