KATHMANDU, 19 MEI – Dua pendaki dari Romania dan India disahkan maut di Gunung Lhotse di Nepal, puncak keempat tertinggi di dunia, menurut pegawai hari ini, menjadikan jumlah korban musim pendakian tahun ini sekurang-kurangnya sembilan orang.
Barna Zsolt Vago, 48 tahun, dari Romania, meninggal dunia pada Ahad ketika sedang mendaki gunung setinggi 8,516 meter itu, kata Liladhar Awasthi dari Jabatan Pelancongan Nepal kepada AFP.
Menurutnya, Vago tidak menggunakan bekalan oksigen tambahan ketika mendaki.
Pada hari yang sama juga, seorang pendaki dari India, Rakesh Kumar, 39 tahun, meninggal dunia antara Kem 3 dan Kem 4 ketika menuruni gunung selepas berjaya sampai ke puncak.
“Pemandu kami sedang berusaha membawa turun mayatnya,” kata Prakash Acharya dari Makalu Adventure, penganjur ekspedisi tersebut, kepada AFP.

Nepal telah mengeluarkan lebih 1,100 permit kepada pendaki gunung untuk musim ini, termasuk 107 permit untuk Gunung Lhotse.
Pendaki yang menuju ke Lhotse turut menggunakan kem asas yang sama sebagai titik perhentian sama seperti mereka yang ingin menawan Everest.
Mereka melalui laluan yang sama, termasuk mendaki Lhotse Face iaitu sebuah dinding ais curam setinggi 1,125 meter sebelum laluan ke dua puncak jiran itu berpecah.
Kejadian ini berlaku selepas dua pendaki seorang dari Filipina dan seorang lagi dari India maut di Everest minggu lalu.
Sekurang-kurangnya lima lagi pendaki termasuk seorang warga Perancis, seorang warga Amerika Syarikat, seorang warga Austria dan dua pendaki tempatan Nepal telah maut di pergunungan Himalaya sejak musim pendakian musim bunga bermula.
Nepal merupakan rumah kepada lapan daripada sepuluh puncak tertinggi dunia dan menerima ratusan pendaki setiap musim bunga, ketika suhu lebih panas dan angin biasanya lebih tenang. – AFP