Saturday, January 4, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua pendatang maut, 17 selamat di Laut Tunisia

    TUNIS, 31 DIS – Dua pendatang Tunisia, termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun, meninggal dunia selepas bot mereka rosak dan tenggelam di pantai utara negara itu, manakala 17 yang lain diselamatkan, menurut Pengawal Nasional Tunisia.

    Satu mayat ditemui di atas kapal manakala kanak-kanak yang meninggal dunia itu ditemui di dalam air, kata Pengawal Nasional dalam satu kenyataan kelmarin.

    Menurut kenyataan itu, unit-unit maritim bertindak balas terhadap panggilan kecemasan pada Ahad mengenai sebuah kapal rosak di tengah laut yang mula dinaiki air dan menyelamatkan 17 daripada 19 penumpang.

    “Lima diselamatkan ketika bertarung nyawa selepas mereka terjun dari bot,” tambahnya.

    Empat individu yang dipercayai terlibat dalam penganjuran percubaan menyeberang itu telah ditangkap, tambah kenyataan itu.

    Gambar Freepik

    Tunisia merupakan titik pelepasan utama bagi pendatang tidak tetap yang ingin tiba ke Eropah. Setiap tahun, puluhan ribu orang cuba melintasi Laut Mediterranean yang berbahaya.

    Pulau Lampedusa Italy hanya terletak 150 kilometer dari Tunisia, sering menjadi persinggahan pertama mereka.

    Percubaan menyeberang Laut Mediterranean itu menyaksikan beberapa kejadian kapal karam, yang semakin teruk disebabkan cuaca buruk.

    Pada 18 Disember, sekurang-kurangnya 20 pendatang dari sub-Sahara Afrika meninggal dunia dalam satu kejadian kapal karam berhampiran bandar Sfax, dengan lima lagi hilang.

    Pada 12 Disember, pasukan pengawal pantai menyelamatkan 27 pendatang Afrika berhampiran Jebeniana, utara Sfax, tetapi 15 dilaporkan maut atau hilang.

    Pada hujung Oktober, 15 mayat yang tidak dikenal pasti ditemui berhampiran Mahdia, satu lagi tempat pelepasan utama. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda