BANDAR MEXICO, 1 OKT – Dua pendatang Mexico telah ditembak mati di bahagian Mexico bersebelahan sempadan Amerika Syarikat (AS) pada awal pagi Jumaat, kata Institut Migrasi Kebangsaan Mexico.
Tiga orang lagi mengalami luka tembakan, tetapi telah menerima bantuan dari pasukan penyelamat kecemasan institut itu, bersama dengan sembilan orang lain yang tidak cedera.
Perkhidmatan penyelamat menemui sekumpulan 14 warga Mexico di bukit Cuchuma, pada waktu subuh berdekatan Tecate, sebuah bandar di negeri sempadan Baja California. Ketika pasukan penyelamat mendaki untuk bertemu dengan kumpulan itu, dua pendatang sudah meninggal dunia.
Bukit padang pasir itu dianggap sebagai tapak suci oleh satu kumpulan Orang Asli Mexico, tetapi juga digunakan oleh penyeludup pendatang.
Punca tembakan tidak diketahui, tetapi sering kali melibatkan perjanjian para pendatang dengan kartel tempatan untuk hak laluan.
Pendatang kadangkala ditembak jika penyeludup mereka bekerja untuk kumpulan saingan atau jika mereka tidak membayar hak laluan.
Kumpulan pencuri dan penculik yang berkeliaran di kawasan sempadan itu juga sering merompak pendatang. – AP