Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Majlis penyampaian hadiah untuk Pocket, produk ThreeG Media Sdn Bhd yang mengadakan kempen cabutan dari awal Disember hingga lewat Januari lalu, telah diadakan di Two Sons Café, Kiulap, kelmarin.
Cabutan telah diadakan pada 22 Januari lalu yang boleh disaksikan melalui IG Live Pocket di mana pemenang ditentukan melalui cabutan roda rawak.
Daripada lebih 10,000 penyertaan, Awang Muhammad Asnawi bin Haji Ahmad terpilih sebagai pemenang iPhone 13 daripada Pocket manakala Chong Hwa Chiok memenangi iPhone 13 daripada Standard Chartered (StanChart).
Kempen berkenaan memberi peluang kepada pengguna memenangi iPhone 13 dengan berbelanja di pedagang Pocket yang mengambil bahagian dalam kempen berkenaan.
Selain itu, para pemegang kad StanChart mendapat penyertaan tambahan untuk memenangi iPhone 13 yang ditaja StanChart selaku rakan kongsi Pockets.
