Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua pengikut ‘Tuhan Harun’ dihukum mati

    PUTRAJAYA, 8 Feb — Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas dua pengikut Tuhan Harun kerana membunuh ketua penolong pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada 2013.

    Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata hukuman mati adalah wajar dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh Sumustapha Suradi, 43, dan Shamsinar Abdul Halim, 41. Beliau berkata insiden itu adalah satu tragedi yang menyedihkan apabila perayu (Sumustapha Suradi dan Shamsinar) menerima arahan daripada seorang yang mengamalkan ajaran sesat untuk menghapuskan pegawai dari jabatan agama yang menjalankan tugas di bawah undang-undang.

    “Kami telah mencapai keputusan sebulat suara. Kami berpendapat bahawa berdasarkan keterangan yang dikemukakan pada perbicaraan, terdapat bukti yang mencukupi untuk membuktikan pertuduhan ke atas kedua-dua perayu,” kata Mohd Zawawi.

    Beliau berkata mahkamah telah mengkaji isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak pembela termasuk kredibiliti saksi-saksi dan isu-isu berhubung saksi-saksi pihak pendakwaan yang memberi keterangan adalah rakan sejenayah.

    Mohd Zawawi berkata tiada alasan yang munasabah untuk meragui keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi dan mahkamah mendapati bahawa keterangan rakan-rakan sejenayah terhadap kedua-dua perayu disokong dengan keterangan daripada saksi-saksi bebas. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda