Sunday, May 11, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua perkhidmatan pesuruhjaya kehakiman dilanjutkan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pelanjutan pelantikan dua pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Besar Brunei Darussalam.

    Pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Besar Brunei Darussalam tersebut ialah Yang Arif Hakim Kannan Ramesh, yang akan dilanjutkan selama dua tahun berkuat kuasa 7 Oktober 2021 dan Yang Arif Hakim Edward Timothy Starbuck Woolley, yang turut dilanjutkan selama dua tahun dan berkuat kuasa 7 September 2021. Pengumuman tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Besar Brunei Darussalam hari ini.

    Yang Arif Hakim Kannan Ramesh mula dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Besar Brunei Darussalam pada 7 Oktober 2019 selama dua tahun secara sambilan dan beliau telah mendengar sebanyak 11 kes komersial dan sivil secara fizikal dan maya dalam tempoh ini.

    Menyentuh mengenai pelanjutan pelantikan beliau sebagai pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Besar Brunei Darussalam, Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon menyatakan keterujaannya yang baginya adalah gambaran yang baik hubungan erat dan kerjasama kehakiman dan komitmen berterusan terhadap misi menegakkan kedaulatan undang-undang di peringkat antarabangsa.

    Sementara itu, Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong juga melahirkan kegembiraan atas pelanjutan pelantikan beliau sebagai pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Besar Brunei Darussalam bagi tempoh dua tahun.

    Negara Brunei Darussalam dan Singapura mempunyai hubungan istimewa yang sudah lama wujud dan berpanjangan, pelantikan Yang Arif Hakim Kannan Ramesh menandakan komitmen untuk mempererat kerjasama kehakiman. Beliau memiliki pengalaman luas dalam penyelesaian pertikaian dalam kes-kes komersial dan timbang tara antarabangsa dan dalam perananya sebagai pesuruhjaya kehakiman, beliau telah memberikan sumbangan kepada pengembangan perundangan awam dan komersial kita.

    Sementara itu, Yang Arif Hakim Edward Timothy Starbuck Woolley dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Besar Brunei Darussalam pada 7 September 2019 bagi tempoh dua tahun.

    Mahkamah Besar Brunei Darussalam menyatakan kegembiraan atas pelantikan Yang Arif Hakim Edward Timothy Starbuck Woolley sebagai pesuruhjaya kehakiman yang telah dilanjutkan dan berharap dapat bekerjasama dalam mengembangkan perundangan dengan pengalamannya yang luas dalam penyelesaian pertikaian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda