Friday, February 28, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua premis perniagaan gagal patuhi Akta Kawalan Harga

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Dua buah premis perniagaan telah didapati melakukan kesalahan Akta Kawalan Harga Penggal 142 dan Peraturan-peraturan di bawahnya semasa operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, di sini, kesalahan yang didapati dilakukan oleh premis perniagaan berkenaan adalah menjual barangan dikawal harga bagi minyak masak dan susu tepung formula anak damit melebihi harga maksimum yang ditetapkan serta gagal memaparkan tanda harga bagi barangan yang dijual di dalam premis perniagaan.

    Kegagalan mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 tersebut telah membawa kepada pengeluaran tiga Notis Amaran.

    Sementara itu, Unit SDT telah mendapati 11 unit alat sukat dan timbang sedang digunakan dalam aktiviti perdagangan dengan satu unit alat timbangan didapati gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan, 1994 Bab 3 (1) dan (2) iaitu menggunakan alat sukat dan timbang yang tidak berdaftar.

    Pihak syarikat telah dikeluarkan Notis Penyitaan dan alat berkenaan telah disita. Dalam pada itu, syarikat berkenaan dikehendaki hadir ke Pejabat Unit SDT mengikut tadahan alat didaftarkan dalam tempoh tujuh hari waktu bertugas dari tarikh notis dikeluarkan bagi memperbetulkan isu berkenaan.

    Operasi bersepadu bulanan itu dilaksanakan ke atas premis-premis perniagaan di Daerah Tutong dengan operasi bertujuan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-peraturan di bawahnya serta Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 dalam memastikan para peniaga-peniaga sentiasa mematuhi harga maksimum yang ditetapkan ke atas barangan yang dikawal harga, mempamerkan tanda harga yang jelas dan tidak mengelirukan serta memastikan alat-alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan adalah berdaftar dan tidak mansuh.

    Pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan ke atas premis perniagaan semasa operasi sepadu baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda