Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Dua produk kesihatan telah didapati dicemari dengan bahan racun berjadual yang tersenarai dalam Akta Racun 1956 yang tidak diisytiharkan, hasil daripada ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.
Menurut Kementerian Kesihatan, produk-produk kesihatan berkenaan, Sea Dragon Sea Horse Zhiyang Wan dan dan Xiang Li Xin Gang Bi Min Kan Wan yang kedua-duanya tiada dinyatakan sumber pengilangnya telah dicemari dengan Dexamethasone, Betamethasone dan Chlorpheniramine.
Bahan pencemar dalam produk-produk itu boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.
Chlorpheniramine digunakan untuk melegakan gejala-gejala alahan yang mana ia mempunyai beberapa kesan advers termasuk merasa mengantuk, pening, kelemahan otot, tekanan darah menurun, kabur penglihatan, mulut ke-ring, kemurungan dan denyutan jantung tidak menentu.
Penggunaan kortikosteroid Dexamethasone dan Betamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras glukosa dalam darah yang meng-akibatkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.
Penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome yang mana ciri-cirinya adalah seperti muka bulat atau moon face, serta kegemukan pada bahagian badan yang atas dengan anggota kaki dan tangan yang kecil.
Sehubungan itu, orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut termasuk penjualan secara dalam talian seperti melalui Facebook dan sebagainya adalah diingatkan ia adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.
Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393301 sambungan 208; menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus pegawai di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A; atau hubungi Talian Darussalam 123 jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.