BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai supaya tidak menggunakan dua produk kosmetik yang dikilangkan di Malaysia iaitu SL Blossom dan SL Angel yang telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, hasil ujian makmal yang dijalankan Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, kedua-dua produk berkenaan didapati dicemari dengan Tretinoin.
Bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.
Kenyataan menjelaskan, Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit. Penggunaannya yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.
Surat Pengakuan Notifikasi bagi produk kosmetik yang dinyatakan telah ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
Kementerian Kesihatan turut mengingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik dipasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di kementerian berkenaan dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kementerian berkenaan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.
Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian 2393298 sambungan 208; menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus pegawai komplians dan perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau hubungi Talian Darussalam 123.
