Thursday, April 17, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua produk kosmetik dicemari bahan terlarang

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Orang ramai disarankan untuk tidak menggunakan dua produk kosmetik yang telah didapati dicemari dengan bahan terlarang/bahan racun berjadual yang tersenarai di dalam Akta Racun 1956 yang tidak diisytiharkan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, dua produk kosmetik berkenaan didapati dicemari hasil daripada ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Dua produk kosmetik berkenaan ialah Skin Magical Orange Cucumber Rejuvenating Kit Premium- Premium Rejuvenating Facial Toner dan Skin Magical Orange Cucumber Rejuvenating Kit Premium – Premium Rejuvenating Cream di mana ia dibuat di Republik Filipina serta dicemari dengan bahan hydroquinone dan tretinoin.

    Bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Hydroquinone dan tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.

    Skin Magical Orange Cucumber Rejuvenating Kit Premium – Premium Rejuvenating Facial Toner. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    Skin Magical Orange Cucumber Rejuvenating Kit Premium – Premium Rejuvenating Cream. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

    Penggunaan tretinoin tanpa nasihat doktor boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk berkenaan.

    Berikutan dapatan itu, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk berkenaan dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Penjualan produk berkenaan termasuk penjualan secara atas talian seperti melalui Facebook dan sebagainya, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat dan perhubungan lanjut, mereka boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393301 sambungan 208, menghantar e-mel, pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus Pegawai Komplians dan Perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kg Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda