Monday, April 28, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dua produk kosmetik tercemar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Orang ramai diseru untuk tidak menggunakan dua produk komestik yang didapati dicemari dengan bahan-bahan terlarang atau bahan racun berjadual yang tersenarai di dalam Akat Racun 1956 yang tidak disytiharkan, hasil daripada ujian makmal yang dijalankan oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa produk-produk kosmetik yang dicemari adalah Perfect Formula by Brilliant Skin Essentials Extra Strength Filter-Free Exfoliating Facial Set-Facial Toner dan Perfect Formula by Brilliant Skin Essentials Extra Strength Filter-Free Exfoliating Facial Set-Facial Cream daripada Filipina di mana ia didapati dicemari oleh Hydroquinone.

    Bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Hydroquinone adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.

    Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan hipersensitiviti, perubahan warna kulit, di bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan produk berkenaan dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk berkenaan.

    Berikutan dengan itu, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang telah menggunakan produk berkenaan adalah dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta-merta. Jika mereka mengalami kesan sampingan dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Penjualan produk berkenaan termasuk penjualan secara dalam talian seperti melalui Facebook dan sebagainya, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Bagi maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Pelesenan melalui talian telefon, 2393301 sambungan 208, menghantar e-mel, pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus Pegawai Komplians dan Pelesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    Perfect Formula by Brilliant Skin Essentials Extra Strength Filter-Free Exfoliating Facial Set-Facial Cream. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    Perfect Formula by Brilliant Skin Essentials Extra Strength Filter-Free Exfoliating Facial Set-Facial Toner.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda